Hiburan

Hinalah, tunggu surat daripada peguam saya – Syura

1.05KViews

SAYA tidak teragak-agak ambil tindakan undang-udang kalau masih ada yang memaki dan menghina saya secara mesej langsung (DM) ataupun secara umum.

Demikian amaran keras penyanyi Syura Badron atau nama sebenarnya, Zuraidah Badron, 37, terhadap individu yang menghinanya secara keterlaluan dengan menyatakan akan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Korang (kalian) yang nak menegur, saya terima dengan hati terbuka, tapi tak perlu sampai memaki dan menghina.

“Kalian tak sedar ke yang kalian pun sedang mengumpat juga sekarang ini? Ambillah pengajaran daripada apa yang sudah saya alami.

Kalau ada yang nak merasa turun naik mahkamah, sila teruskan berbuat demikian, tunggu sahaja surat daripada peguam saya,” ujar Syura menerusi status yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Syura turut memuat naik tangkap layar mesej menghina yang keterlaluan daripada individu yang menggunakan akaun @zabbick.

“Tak yah jadi penunggang agama la Syura. Tiga ekor tu bukan ada degree pun, setakat artis sampah. Menyanyi pun sendu,” tulis @zabbick.

Oleh itu, Syura meminta penggunakan akaun berkenaan untuk menghubunginya dalam tempoh 24 jam, jika tidak perkara itu akan diserahkan kepada pihak peguamnya.

Syura menjadi mangsa kecaman netizen selepas dia dan dua lagi defendan kes saman fitnah Siti Nordiana iaitu Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila selesai mengadakan majlis sidang akhbar tengah hari tadi.

Majlis sidang akhbar tersebut diadakan selepas kes saman fitnah RM2.5 juta yang difailkan Siti Nordiana terhadap mereka bertiga dan dua lagi individu iaitu Pegawai Perhubungan Awam Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek bebas, Razidah Ahmad Senusi berakhir dengan perdamaian semalam.

Terdahulu Syura menegaskan bahawa dia dan sahabatnya telah menjangkakan kecaman yang akan diterima mereka sebaik sahaja kes tersebut dibicarakan.

Kami semua sudah jangka akan ada kecaman dan spekulasi, kami tidak salahkan orang kerana sebelum ini kami berdiam kerana menghormati mahkamah.

“Kami adakan sidang media bukan untuk keruhkan atau memanaskan keadaan, tetapi apabila kes selesai kami mahu terangkan kepada media dan masyarakat.

“Selepas ini saya tidak mahu ulas lagi tentang kes saman itu, cukuplah. Saya mahu teruskan hidup,” kata Syura pada sidang media yang berlangsung di kediaman Lan Solo di Puchong, Selangor.

Mereka disaman oleh Siti Nordiana pada Julai 2021, selepas kelima-lima defendan telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadap penyanyi itu  dalam satu sesi siaran langsung dalam Instagram masing-masing.