Hiburan

Suami saya milik wanita lain juga – Aisyah Hijanah

1.09KViews

Pempengaruh media sosial, Aisyah Hijanah menyifatkan suaminya, Aliff Teega sebagai individu yang mampu menggantikan susuk bapanya.

Selepas enam tahun susah senang bersama, dia bagaimanapun tidak menyangka lelaki yang diyakini kekal menjadi miliknya harus dikongsi bersama wanita lain.

Ayah saya meninggal dunia sewaktu saya kecil. Kesedihan kehilangan figura seorang bapa digantikan dengan lelaki yang hebat.

Saya tidak percaya dengan konsep pinjaman Allah kerana fikir akan diberikan selama-lamanya tetapi lelaki ini milik wanita lain juga.

Allah pinjamkan lelaki yang banyak berkorban, beri kebahagiaan, mendidik cara baik dan memberikan syurga dunia buat saya selama enam tahun,

luahnya dalam hantaran media sosial.

Perkongsian ibu kepada dua cahaya mata itu dikatakan sebagai menjawab segala fitnah yang dilontarkan terhadap keluarganya sejak Aliff membuat pengesahan tentang perkahwinan keduanya Ahad lalu.

Aisyah yang sedang hamil lima bulan juga sedar apa yang terjadi adalah ujian daripada doanya yang ingin memasuki syurga Allah tanpa dihisab.

Dalam doa, saya selalu meminta syurga tanpa hisab dan sejak daripada itu segala ujian tidak mudah.

Ini jalan dan doa yang saya pilih, maka saya perlu bersedia untuk sebarang ujian yang lebih besar akan datang,

Reda dengan pilihan suami, ahli perniagaan itu turut berharap pemilik nama lengkap Mohd. Hazalif Mohd. Hazani akan berlaku adil dalam menguruskan keluarga mereka.

Abang, saya harap awak boleh jadi ketua yang baik buat kedua-dua keluarga.

Allah pilih awak untuk melalui segalanya yang terjadi saat ini dan masa akan datang.

Buat masa ini, saya serahkan sebulatnya urusan ini kepada Allah,

Semalam, kecoh dalam media sosial mengenai Aliff yang mengakui sudah berkahwin lain bersama wanita pilihannya tanpa mendedahkan identiti isteri keduanya.

Susulan berita pernikahan kedua terbabit, tular sekeping foto memaparkan individu mirip Aliff melangsungkan perkahwinan kedua di Songkhla, Thailand pada 21 November lalu.

Sebelum ini, pasangan terbabit mencuri tumpuan apabila mendedahkan rumah tangga mereka diganggu pihak ketiga yang merupakan pekerjanya sendiri.

Aisyah juga dipercayai membawa Aliff berubat selepas didakwa terkena penyakit ain, selain gangguan sihir pemisah.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2017 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

Leave a Reply