Hiburan

Tiada yang seberani Kaka Azraff – Uyaina Arshad

1.05KViews

BAGI saya tidak ada orang lain yang seberani serta selantang Kaka dalam menyuarakan dan mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Itu kata pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad yang memuji kelantangan penyanyi Kaka Azraff mempertahankan Palestin biarpun berdepan tindakan laman pro-Israel.

Pemilik sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, itu juga berharap rakan seperjuangannya tidak gentar berjihad demi saudara seagama.

Saya tahu Kaka cekal dan tak gentar. Jangan hilang semangat kerana ini adalah sebahagian daripada jihad dan paling penting kita tahu niat sebenar untuk beri kesedaran selain jadi suara kepada yang tidak mampu bersuara,” katanya.

Menurut pengacara Dangdut Academy Asia musim enam itu, baru kini dia faham punca segelintir selebriti dan pempengaruh takut untuk bersuara berkenaan konflik Palestin-Israel.

Memang ada risikonya macam akaun TikTok saya sendiri telah disekat, baru-baru ini. Tipulah kalau saya tak rasa sayang, tapi tak mengapa kita boleh buat akaun baharu.

“Senario berbeza pula perlu dihadapi individu yang bergantung kepada media sosial untuk menjana pendapatan, itu yang jadi masalah,” katanya.

Uyaina antara selebriti yang aktif memuat naik paparan mengenai Palestin serta kekejaman Israel menjarah bumi Gaza dan mengorbankan ramai mangsa tidak berdosa.

Terdahulu, sekitar pertengahan bulan lalu akaunnya yang mempunyai 600,000 pengikut dipadam pengendali TikTok selepas memuat naik video bertajuk A Letter to America.

Dalam video berkenaan Uyaina bercerita mengenai kandungan surat milik pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden yang menyifatkan peranan Amerika sebagai hipokrit kerana membenarkan Israel menduduki Palestin.